Pilih kandungan tepat untuk anak
BERDASARKAN perhatian sempena berlangsungnya Pesta Buku Antarabangsa
Kuala Lumpur (PBAKL) baru-baru ini di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur,
kanak-kanak dilihat lebih suka memilih buku cerita atau novel. Kecenderungan
bagi kanak-kanak lelaki pula lebih tertumpu pada komik selain buku pembelajaran
sekolah. Selain bahan bacaan pelbagai genre, peralatan menulis, bahan bantuan
pembelajaran dan kelengkapan persekolahan lain turut dilihat sebagai pelaris
pesta buku tersebut.
Apa kata ibu bapa???
"Sebagai bapa, saya akan pastikan anak saya memilih buku mengikut
sukatan pembelajaran atau yang mempunyai kaitan dengan pelajaran. Lazimnya,
buku-buku yang dijual di sini (PBAKL) semuanya selamat untuk pembacaan,"
kata Sopian Hassan, 36, dari Bangi. "Dalam usia yang muda, mereka sudah menunjukkan minat membaca yang
mendalam. Namun, sememangnya menjadi tanggungjawab saya dan isteri untuk
mengawasi buku-buku yang dipilih. Setakat ini, kami tidak pernah berhadapan
dengan mana-mana pilihan yang salah," ujar Sopian lagi.
Bagi pasangan Yuslina Sidek, 30, dan suaminya, Mohd. Zaidin Zainal
Abidin, 30, dari Kajang, penganjuran pesta buku seperti itu memang
dinanti-nantikan bersama anak-anak mereka, Intisa, 6, dan Iftika, 4. Lazimnya, pemilihan jenis buku untuk bacaan anak-anak ditentukan oleh
mereka sendiri. Ketelitian itu penting kerana bahan bacaan yang dipilih
mengikut kesesuaian umur boleh mengelakkan anak-anak mereka daripada menerima
mesej yang tidak jelas.
"Ada buku-buku yang subjek kandungannya matang dan lebih serius
berbanding usia mereka. Itulah perkara yang perlu diberi perhatian ketika
membuat pilihan," kata Yuslina yang menyasarkan untuk membelanja kira-kira
RM100 membeli buku di PBAKL.
Rata-rata ibu bapa yang ditemui yakin bahawa kebanyakan buku yang dijual
dalam pesta buku, khususnya di bahagian kanak-kanak, selamat untuk pembacaan si
cilik. Mereka selalunya gemar berbelanja pada musim pesta buku kerana faktor
harga yang murah dan pilihan yang banyak.
Apa kata penulis buku???
Kosmo! juga menemui beberapa orang penulis novel kanak-kanak termasuk
seorang penulis yang berpengalaman luas dalam bidang penulisan, Ahmad Fadzilah
Muhammad, 56. Dikenali dengan karya-karya penulisan sastera, cerpen dan puisi, Ahmad
Fadzilah merupakan seorang pengarang di syarikat Aras Mega Sdn. Bhd. yang
beroperasi di Kajang, Selangor.
"Saya terpanggil untuk menulis kisah kanak-kanak selepas banyak
membuat pemantauan dan pemerhatian. Sebagai contoh, apabila melihat pendekatan
sebuah sekolah yang memaparkan wajah-wajah pelajar yang datang lewat ke sekolah
pada skrin besar di kawasan perhimpunan.
"Hal-hal seperti itu menarik perhatian saya lalu terus dijadikan
tajuk cerpen," kata Fadzilah mengenai buku beliau, Wajah Pada Skrin. Buku setebal 124 muka surat itu menghimpunkan 25 buah cerita pendek yang
menceritakan kisah kanak-kanak di sekolah, rumah, bersama guru dan rakan-rakan.
"Semua kisah ini mengambil kira elemen penyelesaian dan mesej pada
akhir penceritaan. Tidak kira bagaimana ia bermula, setiap kisah itu perlu
ditamatkan dengan baik, positif dan ada penyelesaian atau mesej
keinsafan," jelasnya yang menulis sejak 1970-an.
Bagi seorang lagi penulis dari Aras Mega yang ditemui sempena PBAKL
ialah Fauziah Baharudin, 26, beliau yakin bahawa mesej dan intipati sesebuah
buku cerita bukan sekadar bahan bacaan masa lapang. Lebih daripada itu,
kanak-kanak cenderung dipengaruhi watak dan mesej yang disampaikan. Selaku seorang penulis yang masih muda, Fauziah berkata, beliau bernasib
baik kerana dapat mengenali isi hati kanak-kanak dan isu yang dihadapi mereka
melalui adiknya serta rakan-rakan adiknya yang lain.
"Saya juga menyelitkan pengalaman dan kisah peribadi yang boleh
diceritakan semula supaya ia memanfaatkan kanak-kanak, " terangnya. beliau banyak mengkaji psikologi kanak-kanak sebelum menghasilkan sesuatu novel. kanak-kanak suka menggunakan peluang pesta buku umpamanya untuk mendapatkan buku pilihan mereka.
"Novel saya bukan sahaja mempunyai mesej umum malah ia banyak
memberi penekanan tentang disiplin. Namun, ia disentuh secara berhati-hati
menggunakan pendekatan psikologi kanak-kanak supaya mesej dan tuntutan sampai
dengan baik kepada kanak-kanak yang membaca novel ini," ujar Fauziah.
Apa kata pembekal buku???
Bagi pembekal buku kanak-kanak dalam talian, Alimkids.com, Dayang Lily
turut mengakui bahawa dirinya sangat berhati-hati dalam memilih dan menjual
buku kanak-kanak. Pengalaman lebih 10 tahun dalam bidang jualan bukan sahaja
memahirkan beliau dalam perniagaan malah berkenaan seleksi buku-buku yang
sesuai mengikut usia dan keperluan kanak-kanak. Kata Lily, Alimkids.com menyenaraikan pilihan buku mengikut kategori
umur. Oleh itu, ibu bapa dapat dibimbing untuk mendapatkan jenis buku yang
sesuai. Bagi pembelian bukan talian pula, Lily sendiri akan menasihati dan
membantu ibu bapa membuat pilihan. pengaruh buku sangat mendalam dan oleh itu Alimkids.com sentiasa memastikan membekal buku yang terbaik kepada pelanggan.
"Bagi kanak-kanak kecil, mereka perlu didedah dengan buku berkulit
tebal, banyak warna dan gambar dan perkataan yang minimum.
"Ia berubah secara berperingkat apabila kanak-kanak itu membesar
dan pada usia lapan tahun ke atas, ibu bapa boleh mendekatkan mereka dengan
novel kanak-kanak atau pra remaja," katanya.
Buku luar negara
Menjual buku pasaran khusus dengan kebanyakannya berunsur keislaman,
Lily mengakui terdapat kekurangan pada buku keluaran tempatan.
"Apabila melihat buku keluaran tempatan dan luar negara seperti
Eropah, banyak bezanya. Kemajuan inovasi, kreativiti dan persembahan kandungan
dalam buku terbitan luar negara membuatkan ibu bapa lebih suka memilih buku
luar negara," kata Lily.
Lily menunjukkan contoh sebuah buku tebal dari penerbit Eropah yang
bukan sahaja menceritakan tentang kehidupan yang dicipta oleh Allah, bahkan
memasukkan unsur warna, reka bentuk, kreativiti dan mesej tambahan.
"Ia akan menarik minat kanak-kanak mahupun ibu bapa yang membeli
dan ia berbaloi dengan harga," ungkap Lily.
Namun, beliau menjelaskan, kebiasaannya pihak penerbit, pencetak dan
penulis adalah entiti yang berbeza di Malaysia. Ia mungkin mengehadkan
kreativiti penulis selain menjaga kepentingan pencetak untuk menghasilkan
sesuatu dalam kos yang rendah.
Sumber : akhbar kosmo 9 jun 2012.