N0Te 4 U ollss..

Saturday, 9 June 2012

Bahan Bacaan Kanak-Kanak



Pilih kandungan tepat untuk anak

BERDASARKAN perhatian sempena berlangsungnya Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) baru-baru ini di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur, kanak-kanak dilihat lebih suka memilih buku cerita atau novel. Kecenderungan bagi kanak-kanak lelaki pula lebih tertumpu pada komik selain buku pembelajaran sekolah. Selain bahan bacaan pelbagai genre, peralatan menulis, bahan bantuan pembelajaran dan kelengkapan persekolahan lain turut dilihat sebagai pelaris pesta buku tersebut.
Apa kata ibu bapa???
"Sebagai bapa, saya akan pastikan anak saya memilih buku mengikut sukatan pembelajaran atau yang mempunyai kaitan dengan pelajaran. Lazimnya, buku-buku yang dijual di sini (PBAKL) semuanya selamat untuk pembacaan," kata Sopian Hassan, 36, dari Bangi. "Dalam usia yang muda, mereka sudah menunjukkan minat membaca yang mendalam. Namun, sememangnya menjadi tanggungjawab saya dan isteri untuk mengawasi buku-buku yang dipilih. Setakat ini, kami tidak pernah berhadapan dengan mana-mana pilihan yang salah," ujar Sopian lagi.
Bagi pasangan Yuslina Sidek, 30, dan suaminya, Mohd. Zaidin Zainal Abidin, 30, dari Kajang, penganjuran pesta buku seperti itu memang dinanti-nantikan bersama anak-anak mereka, Intisa, 6, dan Iftika, 4. Lazimnya, pemilihan jenis buku untuk bacaan anak-anak ditentukan oleh mereka sendiri. Ketelitian itu penting kerana bahan bacaan yang dipilih mengikut kesesuaian umur boleh mengelakkan anak-anak mereka daripada menerima mesej yang tidak jelas.
"Ada buku-buku yang subjek kandungannya matang dan lebih serius berbanding usia mereka. Itulah perkara yang perlu diberi perhatian ketika membuat pilihan," kata Yuslina yang menyasarkan untuk membelanja kira-kira RM100 membeli buku di PBAKL.
Rata-rata ibu bapa yang ditemui yakin bahawa kebanyakan buku yang dijual dalam pesta buku, khususnya di bahagian kanak-kanak, selamat untuk pembacaan si cilik. Mereka selalunya gemar berbelanja pada musim pesta buku kerana faktor harga yang murah dan pilihan yang banyak.
Apa kata penulis buku???
Kosmo! juga menemui beberapa orang penulis novel kanak-kanak termasuk seorang penulis yang berpengalaman luas dalam bidang penulisan, Ahmad Fadzilah Muhammad, 56. Dikenali dengan karya-karya penulisan sastera, cerpen dan puisi, Ahmad Fadzilah merupakan seorang pengarang di syarikat Aras Mega Sdn. Bhd. yang beroperasi di Kajang, Selangor.
"Saya terpanggil untuk menulis kisah kanak-kanak selepas banyak membuat pemantauan dan pemerhatian. Sebagai contoh, apabila melihat pendekatan sebuah sekolah yang memaparkan wajah-wajah pelajar yang datang lewat ke sekolah pada skrin besar di kawasan perhimpunan.
"Hal-hal seperti itu menarik perhatian saya lalu terus dijadikan tajuk cerpen," kata Fadzilah mengenai buku beliau, Wajah Pada Skrin. Buku setebal 124 muka surat itu menghimpunkan 25 buah cerita pendek yang menceritakan kisah kanak-kanak di sekolah, rumah, bersama guru dan rakan-rakan.
"Semua kisah ini mengambil kira elemen penyelesaian dan mesej pada akhir penceritaan. Tidak kira bagaimana ia bermula, setiap kisah itu perlu ditamatkan dengan baik, positif dan ada penyelesaian atau mesej keinsafan," jelasnya yang menulis sejak 1970-an.

Bagi seorang lagi penulis dari Aras Mega yang ditemui sempena PBAKL ialah Fauziah Baharudin, 26, beliau yakin bahawa mesej dan intipati sesebuah buku cerita bukan sekadar bahan bacaan masa lapang. Lebih daripada itu, kanak-kanak cenderung dipengaruhi watak dan mesej yang disampaikan. Selaku seorang penulis yang masih muda, Fauziah berkata, beliau bernasib baik kerana dapat mengenali isi hati kanak-kanak dan isu yang dihadapi mereka melalui adiknya serta rakan-rakan adiknya yang lain.
"Saya juga menyelitkan pengalaman dan kisah peribadi yang boleh diceritakan semula supaya ia memanfaatkan kanak-kanak, " terangnya. beliau banyak mengkaji psikologi kanak-kanak sebelum menghasilkan sesuatu novel. kanak-kanak suka menggunakan peluang pesta buku umpamanya untuk mendapatkan buku pilihan mereka.
"Novel saya bukan sahaja mempunyai mesej umum malah ia banyak memberi penekanan tentang disiplin. Namun, ia disentuh secara berhati-hati menggunakan pendekatan psikologi kanak-kanak supaya mesej dan tuntutan sampai dengan baik kepada kanak-kanak yang membaca novel ini," ujar Fauziah.
Apa kata pembekal buku???
Bagi pembekal buku kanak-kanak dalam talian, Alimkids.com, Dayang Lily turut mengakui bahawa dirinya sangat berhati-hati dalam memilih dan menjual buku kanak-kanak. Pengalaman lebih 10 tahun dalam bidang jualan bukan sahaja memahirkan beliau dalam perniagaan malah berkenaan seleksi buku-buku yang sesuai mengikut usia dan keperluan kanak-kanak. Kata Lily, Alimkids.com menyenaraikan pilihan buku mengikut kategori umur. Oleh itu, ibu bapa dapat dibimbing untuk mendapatkan jenis buku yang sesuai. Bagi pembelian bukan talian pula, Lily sendiri akan menasihati dan membantu ibu bapa membuat pilihan. pengaruh buku sangat mendalam dan oleh itu Alimkids.com sentiasa memastikan membekal buku yang terbaik kepada pelanggan.
"Bagi kanak-kanak kecil, mereka perlu didedah dengan buku berkulit tebal, banyak warna dan gambar dan perkataan yang minimum.
"Ia berubah secara berperingkat apabila kanak-kanak itu membesar dan pada usia lapan tahun ke atas, ibu bapa boleh mendekatkan mereka dengan novel kanak-kanak atau pra remaja," katanya.
Buku luar negara
Menjual buku pasaran khusus dengan kebanyakannya berunsur keislaman, Lily mengakui terdapat kekurangan pada buku keluaran tempatan.
"Apabila melihat buku keluaran tempatan dan luar negara seperti Eropah, banyak bezanya. Kemajuan inovasi, kreativiti dan persembahan kandungan dalam buku terbitan luar negara membuatkan ibu bapa lebih suka memilih buku luar negara," kata Lily.
Lily menunjukkan contoh sebuah buku tebal dari penerbit Eropah yang bukan sahaja menceritakan tentang kehidupan yang dicipta oleh Allah, bahkan memasukkan unsur warna, reka bentuk, kreativiti dan mesej tambahan.
"Ia akan menarik minat kanak-kanak mahupun ibu bapa yang membeli dan ia berbaloi dengan harga," ungkap Lily.
Namun, beliau menjelaskan, kebiasaannya pihak penerbit, pencetak dan penulis adalah entiti yang berbeza di Malaysia. Ia mungkin mengehadkan kreativiti penulis selain menjaga kepentingan pencetak untuk menghasilkan sesuatu dalam kos yang rendah.
Sumber : akhbar kosmo 9 jun 2012.